Nuffnang

Rabu, 16 Mac 2011

Cara terdesak jual kereta

Tindakan peniaga dan pengusaha syarikat kenderaan terpakai yang menawarkan harga rendah kepada orang ramai yang mahu menjual kereta lama dipercayai mendorong pemiliknya melakukan kaedah tersendiri untuk menjual kereta mereka.
Caranya amat mudah, hanya dengan mempamerkan kereta yang hendak dijual itu di halaman rumah atau di bahu jalan dan melekatkan kotak yang tertera dengan nombor telefon bimbit pemiliknya di atas bumbung bagi menarik perhatian pembeli. 
Kaedah baru ini berhasil kerana orang ramai mudah melihat kenderaan berkenaan dan jika berminat, mereka boleh menghubungi pemiliknya, melalui nombor telefon yang dipamerkan untuk mendapatkan kepastian harga yang ditawarkan.

Tinjauan mendapati beberapa jalan utama termasuk di sekitar Jalan Bakri, Kesang dan beberapa kawasan perumahan di pinggir bandar ini dikenal pasti menjadi lokasi tempat mempamerkan kereta terpakai untuk dijual.

Selain diletakkan di halaman kediaman, ada antara kenderaan terpakai yang hendak dijual itu diletakkan di bahu jalan dan depan premis perniagaan dalam kawasan perumahan.

Tinjauan juga mendapati, pemilik kenderaan terbabit tidak berada berdekatan dengan kereta yang hendak di jual itu, tetapi boleh menghubungi melalui telefon, berpandukan nombor yang dicatatkan pada kotak diatas bumbung kenderaan itu.
Seorang penduduk, Ismail Ibrahim, 58, berkata beliau percaya tindakan itu dilakukan, berikutan pemilik kereta terpakai kini semakin sukar untuk menjual kenderaan lama.

Beliau berkata, harga yang ditawarkan pengusaha premis kenderaan terpakai terlalu rendah dan tidak munasabah, walaupun keadaan kereta yang dimiliki masih baik serta mampu digunakan untuk perjalanan jauh.

“Bagi mengelak kereta lama menjadi besi buruk, walaupun masih boleh digunakan, mereka terpaksa mempamerkan kenderaan itu di bahu jalan atau di halaman kediaman penduduk.

“Melalui kaedah itu dapat mengelak pemilik kenderaan lama menanggung kerugian terutama jika menjual dengan harga terlalu rendah di premis menjual kereta terpakai,” katanya, di sini.

Sementara itu, pesara kerajaan, Hishamuddin Ali, 70, berkata disebabkan sukar untuk menjual kereta lama, ada pemilik kenderaan itu yang menjadikan kereta terpakai sebagai koleksi yang diletakkan dalam garaj di depan rumah masing-masing.

Beliau berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan selepas mereka gagal mendapatkan harga berpatutan yang boleh dijadikan sebagai deposit atau wang pendahuluan bagi membeli kereta baru.

“Berikutan itu, ada antara mereka yang memiliki kereta lama menggunakan kaedah mempamerkan kenderaan itu pada bahu jalan dengan meletakkan nombor telefon supaya dapat dijual tanpa melalui orang tengah,” katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan